Kariah Masjid Al-Ansar Bandar Meru Raya nyata terkejut apabila mendapati sekumpulan anjing liar memasuki ruang masjid itu, 29 September lalu selepas melihat rakaman CCTV yang dipasang di masjid berkenaan.
Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian terbabit melibatkan lapan ekor anjing yang menceroboh masuk sekitar jam 4.15 pagi.
Menurut siak masjid, Muhammad Radzi Yaakub, pihaknya mengesyaki kecuaian adalah punca kepada kejadian tersebut berlaku selepas melihat pintu belakang masjid tidak ditutup seperti biasa.
“Saya percaya, anjing ini masuk ke masjid menerusi pintu belakang yang tidak ditutup. Selepas Isyak, semua pintu biasanya ditutup.
“Mungkin malam itu ada jemaah yang tidak menutup pintu,” katanya.
Ujarnya lagi, perkara tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak masjid ini dirasmikan pada tahun 2015 yang lalu.
“Ini kali pertama masjid ini dimasuki anjing. Saya percaya, anjing ini datang dari kawasan pembinaan berhampiran.
“Biasanya kumpulan anjing ini berada di deretan rumah kedai berhampiran.
“Saya minta pihak berwajib ambil tindakan bagi menangani masalah ini,” katanya.
Bagi Sulaiman Awang Mat, 60, seorang lagi siak yang berkhidmat untuk masjid tersebut, kejadian anjing masuk ke masjid amat mengejutkan.
“Pagi Subuh tu, memang saya datang awal ke masjid dan ternampak kesan binatang masuk ke dalam masjid.,
“Bila tengok CCTV, baru saya tahu, binatang tu, anjing,” katanya yang turut berharap orang ramai yang ke masjid dapat memberi kerjasama dengan menutup pintu masjid.
“Kita nak letak notis, macam tak bersesuaian. Jadi diharap semua pihak dapat menutup setiap pintu masuk ke masjid bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya lagi.
Manakala menurut pengerusi masjid, Muntaha Kamil Halid berkata, kejadian tersebut sudahpun dirujuk kepada pihak berwajib terutamanya soal pembersihan masjid.
Berdasarkan penitian ke atas rakaman CCTV tersebut, pihak masjid dimaklumkan pembersihan hanya perlu dibuat menerusi kaedah biasa.
“Kami merujuk perkara berkenaan kepada timbalan mufti dan kami yakin ia dalam keadaan kering.
“Jadi kami bersihkan menggunakan vakum dan semburan sahaja,” katanya.
Majlis Bandaraya Ipoh juga memaklumkan akan mengambil tindakan bersabit dengan kejadian tersebut.
Sumber : Sinar Harian